Kebolehan pelakon senior dalam menjayakan watak untuk sesebuah naskah drama bersiri sememangnya tidak boleh dipertikaikan.

Pelakon senior bukan hanya pelengkap sesebuah naskah, kehadiran mereka juga menjadi nadi penggerak cerita untuk drama bersiri.

Bersempena Malam Throwbaek Drama yang bakal berlangsung pada 1 April ini, Astro Gempak mengimbas semula calon akhir bagi kategori Otai Paling Throwbaek:

Faizal Hussein

Terkenal dengan watak Roy dalam filem Gila Gila Remaja, kemunculan Faizal Hussein dalam Si Kolot Suamiku menguatkan lagi jalan cerita drama bersiri terbabit.

Dian P. Ramlee

Watak Cik Puan Marina sememangnya dibenci oleh penonton setia drama bersiri Lara Aishah. Ternyata Dian P. Ramlee merupakan seorang pelakon otai yang sangat berbakat kerana karakternya masih meninggalkan kesan di hati penonton.

Liza Abdullah

Kemunculan Liza Abdullah dalam drama bersiri Isteri VS Tunang sangat menghiburkan dan meninggalkan kesan di hati penonton setia naskah tersebut.

Nasir Bilal Khan

Watak Nasir Bilal Khan sebagai Tok Adi dalam drama bersiri Tanah Kubur telah menjadi sebuah watak ikonik dan dikenali oleh semua golongan tak kira tua dan muda.

Jasmin Hamid

Kemunculan Jasmin Hamid dalam drama bersiri Lara Aishah mencuri tumpuan penonton dan menjadi buah mulut penggemar naskah tersebut.

Malam Throwbaek Drama yang bakal berlangsung pada 1 April ini di Hotel Primiera, Kuala Lumpur.

Keseluruhan kategori yang dipertandingkan adalah sebanyak sebelas buah kategori. Lapan kategori adalah berdasarkan 50% undian online dan 50% penilaian juri Astro.

Kategori tersebut ialah Kapel Throwbaek, Watak Paling Meminta, Otai Throwbaek, Scene Paling Win, Pelakon Paling Membantu, OST Throwbaek, Hero Throwbaek dan Heroin Throwbaek.

Manakala tiga buah kategori lagi adalah 100% pilihan juri. Kategori-kategori tersebut adalah Drama Throwbaek, Fan Club Throwbaek dan Pelakon Paling Gigih.

Peminat boleh mengundi artis kegemaran mereka secara online menerusi akaun Instagram H Live (@officialhlive) bermula 24 Mac sehingga 30 Mac 2017.

Pemenang untuk setiap kategori akan diumumkan pada Malam Throwbaek Drama kelak. Setiap undian yang dihantar haruslah diterima dalam tempoh masa yang telah ditetapkan.

Jangan lupa untuk mendapatkan pas masuk untuk ke Malam Throwbaek Drama dan anda berpeluang untuk makan malam bersama artis-artis terkenal.

Tiket biasa dijual dengan harga RM150 dan tiket VIP dijual dengan harga RM550. Tiket VIP adalah termasuk makan malam dan penginapan satu [1] malam di Hotel Premiera Kuala Lumpur untuk dua [2] orang.

Untuk pembelian tiket, sila layari laman web rasmi di www.premiera.com.my atau hubungi talian 03-26151000 bermula 18 Mac 2017. Tempat adalah terhad kepada pemanggil terawal.

Teks oleh: Kamaruddin Razal