Pelakon filem Kimchi Untuk Awak, Janna Nick akui tidak kisah rambut palsu yang dipakai olehnya menjadi bahan lawak peminat.

Menurut Janna atau nama sebenarnya Nurul Janna Muner, 22, rambut palsu tersebut merupakan salah satu inisiatif yang dilakukan untuk menghidupkan watak Zara dalam filem tersebut.

"Untuk melakonkan watak antagonis memang saya ada buat kajian untuk bagi watak saya nampak hidup.

"Bila dapat watak sebagai penggoda secara automatik kita dapat bayang wanita itu seorang yang gedik.

"Untuk tidak nampak terlalu over dan sama dengan watak penggoda lain, saya meletakkan satu usaha dengan membeli rambut palsu sendiri.

"Itu yang bila pakai ramai yang kata nampak macam tembikai dan juga helmet.

"Tapi tak apa, saya tak kisah asalkan orang suka dan nampak lakonan saya," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Janna, Kimchi Untuk Awak turut dibintangi oleh Emma Maembong, Aiman Hakim, Dira Abu Zahar, Ungku Hariz dan Sharifah Sakinah.

Filem terbitan Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini akan menemui penonton bermula 30 Mac ini.

Teks oleh: Mya Amri