Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim kini sah menjadi presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021 hari ini.

Perkara itu diumumkan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin pada Kongres ke-53 FAM yang bermula 10.15 pagi di Hotel Hilton Petaling Jaya di sini.

Menurut Hamidin, TMJ diumum menang jawatan presiden FAM tanpa bertanding selepas mendapat sokongan semua perwakilan.

"Dengan penarikan diri Tan Sri Annuar Musa, saya mencadangkan Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menang tanpa bertanding," katanya pada kongres berkenaan.

Cadangan berkenaan mendapat sokongan daripada semua perwakilan sebelum Hamidin mengumumkan jawatan itu sah milik Tunku Ismail.

Annuar, penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), menarik diri daripada pertandingan satu lawan satu bagi jawatan presiden, 48 jam sebelum kongres bermula.

Sumber: Bernama