Pengarah Konsert Nova 2017, Safia Jamil, mengakui bahawa tiada istilah menganaktirikan artis Malaysia dalam menjayakan Konsert Nova 2017.

Menurut Safia, konsert yang merupakan gabungan penyanyi popular Malaysia dan Indonesia ini memberi peluang sama rata kepada semua artis yang terlibat untuk mengetengahkan bakat mereka.

"Konsert gabungan ini melibatkan gabungan dua buah negara jadi agak mustahil jika timbul masalah penyanyi daripada Malaysia telah dianaktirikan.

"Pihak kami memberi jaminan bahawa artis yang terlibat diberi layanan sama rata dalam konsert seperti ini.

"Kami juga akan membawa artis Malaysia ke Indonesia untuk mengadakan promosi dan mereka akan diberi layanan yang sama rata seperti artis di negara itu yang datang ke sini," katanya kepada Astro Gempak.

Safia berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Konsert Nova 2017, di Terrace Teh Curve, Mutiara Damansara, baru-baru ini.

Konsert Nova 2017 bakal menampilkan penyanyi Judika, Cakra Khan, Azlan dan Dayang yang akan diadakan pada 5 Ogos depan di Stadium Malawati, Shah Alam.

Konsert ini merupakan sambutan ulang tahun ke-60 hubungan antara Malaysia dengan Indonesia.

Untuk maklumat lanjut melalui konsert boleh melayari laman web www.konsertnova.com atau mengikuti media sosial Konsert Nova di Facebook dan Instagram.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi