Penyanyi dan pelakon, Alif Satar akui kerjayanya yang kini lebih cenderung ke arah bidang pengacaraan sedikit pun tidak menimbulkan kerisauan pada dirinya.

Menurut Alif, 26, dia tidak kisah sekiranya lebih dikenali sebagai pengacara berbanding penyanyi.

“Tidak ada apa yang perlu dirisaukan pun. Bagi saya, pengacara, pelakon atau penyanyi saya masih lagi orang yang sama.

“Sebab memang saya buat ketiga-tiganya dan itulah bidang kerjaya saya. Orang akan kenal saya sebagai Alif Satar juga.

“Saya rasa bersyukur dan terharu apabila ditawarkan untuk menjadi hos kerana bagi saya itu salah satu lambang orang percaya dengan hasil kerja kita sebelum ini" katanya kepada Astro Gempak.

Bagaimanapun Alif memberitahu bidang nyanyian masih lagi menjadi keutamaanya.

“Bila dah jadi pengacara tidak bermakna saya akan berhenti menyanyi. Bidang pengacaraan itu merupakan satu bonus buat saya.

“Manakala nyanyian merupakan pilihan utama saya dan saya mahu kedua-duanya berjalan dengan seiring.

“Alhamdulillah, single baru juga telah pun disiapkan dan bakal dilancarkan tidak lama lagi,” ujarnya.

Alif bakal bergandingan dengan pelakon Sherry Alhadad sebagai hos Rockanova.

Konsert Rockanova bakal bersiaran secara langsung di Pusat Konvensyen CIDB, Kuala Lumpur bermula 29 Mac ini pada jam 9.30 malam.

Rockanova juga turut disiarkan di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).

Teks oleh: Mya Amri