Pelakon Janna Nick menjelaskan kontroversi antara dirinya dengan aktres Ruhainies yang terjadi tahun lalu tidak menjejaskan prestasi lakonannya.

Ketika kontroversi itu sedang berlaku, Janna sedang menjalani penggambaran untuk filem pertamanya, Kimchi Untuk Awak.

Filem arahan Michael Ang itu bakal menjengah pawagam seluruh Malaysia pada 30 Mac.

"Sewaktu saya sedang menjalani penggambaran di Korea, kontroversi ini sedang hangat diperkatakan. Namun begitu, perkara tersebut tidak menjejaskan fokus saya terhadap lakonan.

"Bila perkara itu melibatkan kerjaya, saya menjadi seorang profesional. Saya fokus untuk menjalankan tugas saya. Bila pengarah kata cut sahaja, ada terfikir juga. Tetapi bila melangkah ke dalam set, saya sudah memasukkan semangat Zara dalam diri saya," kata Janna kepada Astro Gempak.

Melakonkan watak antagonis bernama Zara, Janna berharap agar filem ini mendapat sokongan ramai pihak.

"Ini merupakan filem pertama saya. Ramai juga sebenarnya yang melalui pengalaman kali pertama. Filem ini juga merupakan filem pertama arahan Michael Ang, filem pertama terbitan Darkwave Pictures dan juga filem pertama melibatkan Aiman Hakim Ridza dan Emma Maembong.

"Saya berharap agar filem ini mendapat sambutan yang menggalakkan kerana kami menghidangkan buah tangan yang berbeza untuk penggemar filem tempatan," katanya lagi.

Filem kolaborasi antara Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini itu bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia pada 30 Mac 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal