Pengarah filem Kimchi Untuk Awak, Michael Ang akui pelakon Emma Maembong tidak mengetahui terdapat babak yang memerlukan dirinya dikendong oleh aktor Aiman Hakim.

Menurut Michael, Emma telah menolak untuk melakukan babak tersebut sebaik sahaja mendapat tahu tentang perkara berkenaan ketika berada diset penggambaran.

“Pada mulanya Emma telah menolak tawaran untuk berlakon filem ini kerana banyak babak bersentuhan.

“Kami kemudiannya telah menukar draf skrip sebanyak empat kali dan mengurangkan babak-babak tersebut, selepas itu barulah Emma terima untuk berlakon.

“Sebenarnya memang babak Aiman mengendong Emma itu saya rahsiakan daripada pengetahuannya dan sebaik saja Emma tahu, dia telah menolak untuk melakukan aksi tersebut,” katanya.

Michael Ang berkata demikian ketika sidang media malam gala filem Kimchi Untuk Awak bertempat di GSC Pavillion, Kuala Lumpur semalam.

Bagaimanapun, Michael Ang memberitahu Emma kemudiannya bersetuju untuk melakonkan babak berkenaan selepas berbincang dengannya.

“Kalau boleh Emma memang suruh saya cari altenatif lain untuk melakukan babak berkenaan, tetapi selepas saya berbincang dan menerangkan babak itu merupakan antara babak paling penting dalam novel, barulah Emma terima untuk melakukannya.

“Bagi saya babak itu penting kerana itulah waktunya bibit-bibit percintaan antara Bella dan Danial Lee mula berputik,” jelasnya.

Selain Emma dan Aiman, Kimchi Untuk Awak turut dibintangi oleh Janna Nick, Dira Abu Zahar, Ungku Hariz dan Sharifah Sakinah.

Filem terbitan Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini akan menemui penonton bermula 30 Mac ini.

Teks oleh: Mya Amri