Bapa Mertua kepada pelakon Ayu Raudhah, meninggal dunia pada pukul 4 petang tadi di Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) Seremban kerana penyakit berkaitan usus.

Allahyarham Abd Radzak Salleh, 68, yang menghidap asma dimasukkan ke HTJ, petang semalam selepas mengadu tidak sihat.

Menurut laporan BH Online, anak ketiga Abd Radzak, Mohd Zafran, berkata, penyakit berkaitan usus ayahnya dikesan ketika doktor melakukan pemeriksaan pada malam tadi dan arwah sepatutnya menjalani pembedahan hari ini.

"Bagaimanapun, keadaan tidak mengizinkan untuk pembedahan itu dilakukan dan ayah meninggalkan kami buat selama-selamanya," katanya, di sini, hari ini.

Mohd Zafran berkata, ayahnya meninggalkan seorang isteri, Azizah Arshad, 64 dan tujuh orang anak.

Jenazah dibawa pulang ke rumah keluarga di Taman Rashibah Indah, Sikama,t di sini dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Makam Tuan Haji Said, pagi esok.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi
Sumber : Berita Harian Online