Pelawak Achey akui sekiranya kumpulan Bocey berjaya memasuki peringkat akhir Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) itu merupakan satu bonus.

Menurut Achey atau nama sebenarnya Mohd Nasir Hamzah, 30, para peserta tahun ini memberikan saingan hebat tidak kira sama ada yang berkumpulan mahupun solo.

“Kalau dapat masuk ke final kami anggap itu bonus kerana semua peserta hebat. Apa yang kami boleh lakukan adalah berikan persembahan terbaik untuk setiap minggu.

“Cabaran ketika berada di MLM2017 ini adalah kami perlu melawak dengan menggunakan tema yang diberikan.

“Tak boleh buat suka hati, kena ikut peraturan dan juga mencari lawak yang baru. Bukan senang untuk kami mencari idea.

“Sebab itu adanya sesi latihan ataupun ‘content check’ supaya idea kami tidak sama dengan pelawak-pelawak lain.

“Selalunya bila latihan memang okay, tapi bila ‘live’ lain pula jadinya dan kebanyakannya memang aksi spontan. Itulah gementar punya fasal,” katanya kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Abam memberitahu menyandang gelaran sebagai juara MLM tahun lalu memberikan sedikit bebanan buat kumpulan Bocey.

“Sebenarnya kalau nak cakap fasal keyakinan ke final itu rasanya semua orang bercita-cita untuk ke peringkat akhir.

“Cumanya bagi kami, bila dah pernah pegang gelaran juara itu agak berat juga bukan apa, khuatir kalau persembahan kami tidak mencapai tahap yang diinginkan oleh penonton.

“Nak kekalkan momentum persembahan itu bukan mudah dan kami juga tidak tahu bagaimana penerimaan penonton setiap kali kami buat persembahan.

“Jadi kami harap setakat ini, penonton dan juri berpuas hatilah dengan persembahan kami,” ujarnya.

MLM2017 minggu kelima menyaksikan Bocey menduduki tangga keempat dengan peratusan undian sebanyak 64.54 %.

Bocey bakal beraksi di minggu keenam MLM2017 yang bertemakan Muzikal.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan video menarik tentang MLM 2017 layari MAHARAJA LAWAK MEGA.

Untuk mengundi Gempak Man Of The Match, sila KLIK DI SINI.

Teks oleh: Mya Amri