Saya Tiada Isu Dengan Rita Rudaini - Che Ta

20 Mac 2017. 5.40 PM
23,306
Hiburan
Saya Tiada Isu Dengan Rita Rudaini - Che Ta

Pelakon jelita Rozita Che Wan menjelaskan dirinya tidak mempunyai sebarang isu dengan aktres Rita Rudaini.

Sebelum ini, tindakan aktres yang mesra disapa dengan panggilan Che Ta ini dikecam kerana meninggalkan komen di laman Instagram milik isteri kepada pelakon Aqasha, Baizura Sabri.

Che Ta meninggalkan komen di laman Instagram Baizura dan menggunakan istilah 'betina' sebagai panggilan terhadap wanita yang didakwa menjadi punca masalah rumah tangga Baizura bersama Aqasha.


Netizen mula memberi perhatian terhadap isteri Aqasha selepas dia memuat naik beberapa paparan skrin perbualan yang didakwa sebagai perbualan antara suaminya bersama seorang aktres.

Ramai netizen yang mula membuat spekulasi sendiri mengenai siapakah aktres yang dimaksudkan dan antara nama yang 'dipetik' ialah aktres Rita Rudaini.

BACA: Isteri Aqasha Amuk Wanita Goda Suami, Peminat Kaitkan Nama Rita Rudaini

"Sejujurnya, saya tidak tahu siapa sebenarnya orang yang dimaksudkan. Saya tak tahu langsung hujung pangkal cerita. Saya juga tidak mengenali siapa Baizura.

"Namun begitu, apabila ada orang tag saya di laman Instagram Baizura, saya hanya membaca apa yang berlaku dan meninggalkan komen secara umum.

"Sebagai wanita, saya rasa tersentuh membaca luahan hati Baizura serta memahami perasaannya sebagai isteri dan ibu. Saya memahami perasaan wanita lain yang suaminya digoda.

"Ingin saya jelaskan yang saya tak tahu secara terperinci apa yang sedang berlaku. Siapa yang terlibat dalam hal ini pun saya tak tahu pada mulanya kerana saya memberikan komen secara general menerusi sudut pandang seorang wanita. Saya sendiri tiada isu dengan Rita.

"Saya tak pernah jumpa dengan Rita dan tak pernah berlakon dengan Rita. Saya tiada sebab mahu mengata atau mahu menujukan komen itu kepada Rita kerana saya sendiri tak tahu siapa yang dimaksudkan," kata Che Ta kepada Astro Gempak.

Tambah Che Ta, dia juga serik untuk meninggalkan komen sebelum membaca dan mengetahui situasi terlebih dahulu.

"Walaupun posting itu sudah dipadamkan oleh Baizura, sejujurnya saya rasa serik dengan kejadian itu. Selepas ini, saya akan membaca dan meneliti dahulu apa cerita sebenarnya, barulah saya meninggalkan sebarang komen. Saya tak mahu perkara seperti ini berulang kembali," katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Che Ta bakal memasuki set penggambaran bagi dua buah telefilem istimewa yang bakal disiarkan pada sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal


Artikel Berkaitan


Komen