Pelakon filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD2), Raline Shah akui lebih selektif dalam pemilihan watak yang ditawarkan kepadanya.

Menurut Raline, 31, tindakan itu perlu dilakukan untuk memastikan mutu dan kualiti lakonannya menerusi naskah yang diberikan sentiasa terjaga.

“Saya memang sentiasa selektif dalam semua benda termasuklah pemilihan watak. Sebagai seorang pelakon saya rasa perkara itu agak penting untuk menjaga kualiti lakonan.

“Bagi saya, kalau terlalu banyak mengambil tawaran tanpa memikirkan mutu lakonan rasanya kurang elok.

"Saya melihat kepada karakter yang ditawarkan sama ada bersesuaian dengan saya atau pun tidak.

“Kalau boleh saya mahu setiap watak saya memberikan impak kepada penonton sehingga mereka mengingati lakonan saya.

“Biarlah memilih asalkan bila lihat hasil kerja tersebut, saya rasa puas hati sebagai contoh filem SYTD dan SYTD2,” katanya kepada Astro Gempak.

Selain Raline, filem SYTD 2 turut dibintangi oleh Laudya Cynthia Bella, Fedi Nuril, Reza Rahadian dan Nora Danish.

Filem arahan pengarah terkenal Hanung Bramantyo itu telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 16 Februari lalu.

Dalam pada itu, filem terbaru terbitan Astro Shaw dan Dark Wave Pictures Sdn. Bhd berjudul Kimchi Untuk Awak bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Mac ini.

Kimchi Untuk Awak dibintangi oleh Aiman Hakim Redza, Emma Maembong dan Janna Nick.

Teks oleh: Mya Amri