Pelakon jelita Mira Filzah berubah perwatakan daripada seorang gadis yang bersopan santun kepada seorang wanita yang gedik.

Berpenampilan lemah lembut, Mira semakin berubah selepas berpindah ke rumah baru dan mula bersikap mengada-ngada.

Jangan terkejut kerana situasi tersebut hanyalah merupakan watak yang digalas oleh Mira dalam drama mini bersiri digital berjudul 3 Gadis Manis yang bersiaran di laman web Astro Gempak.

“Saya menggalas watak Aisyah, seorang gadis yang datang dari kampung. Aisyah seorang yang bersikap sopan dan lemah lembut. Namun begitu, selepas berpindah ke bandar dan mula menyewa di rumah baru bersama dua orang gadis lain, Aisyah mula berubah.

“Perkenalan Aisyah dengan seseorang mula membuatkan dirinya bersikap gedik dan mengada-ngada. Untuk menyaksikan perubahan karakter Aisyah, jangan lupa saksikan drama mini bersiri digital 3 Gadis Manis,” kata Mira kepada Astro Gempak.

Bergandingan bersama Ayda Jebat dan Cristina Suzanne, Mira senang berlakon di samping dua gadis ini.

“Salah satu sebab mengapa saya menerima tawaran ini adalah kerana saya bergandingan dengan Ayda dan Cristina. Selain itu, saya juga dapat berlakon bersama Alvin Chong dan Dottie.

“Pengalaman bekerja bersama mereka sangat menyeronokkan dan saya berharap agar drama bersiri 3 Gadis Manis dapat diterima semua pihak,” katanya lagi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri 3 Gadis Manis yang disiarkan sepenuhnya menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my mulai 8 Mac ini.

Teks oleh: Kamaruddin Razal