Pelakon Yasmin Hani akui ingin bergiat aktif semula dalam dunia lakonan selepas hampir setahun berehat.

Menurut Yasmin, dia ingin memberi fokus kepada bidang lakonan dan rindu untuk berada di hadapan kamera.

“Kali terakhir saya berlakon ialah pada setahun lalu menerusi drama Keluarga Pontimau yang disiarkan di TV3.

"Selepas itu saya telah hamil anak kedua dan dinasihatkan banyak berehat, dan saya hanya melakukan kerja-kerja pengacaraan untuk majlis tertentu sahaja.

"Buat masa sekarang saya sudah boleh kembali aktif kepada bidang lakonan dan pengacaraan kerana anak-anak sudah membesar.

“Insya-Allah saya sudah menghadiri uji bakat untuk membintangi sebuah filem dan ia juga boleh dikatakan agak besar serta menarik. Doakan semuanya berjalan lancar,” katanya kepada Astro Gempak.

Yasmin berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran mesin laser Picoway, di Aloft, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Yasmin Hani telah melahirkan anak keduanya Eissa Elzander Wong pada 27 Disember tahun lalu.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi