Kontoversi yang melibatkan tayangan filem Beauty and the Beast kian berpanjangan apabila syarikat penerbitan filem tersebut, Walt Disney tidak mahu membuat suntingan seperti yang diarahkan oleh pihak Lembaga Penapisan Filem (LPF).

Portal berita Bloomberg melaporkan yang Walt Disney mengambil keputusan untuk terus menangguhkan tayangan filem tersebut ke satu tarikh yang masih belum ditetapkan, namun mereka tetap dengan pendirian untuk tidak membuat sebarang suntingan.

"Filem tersebut masih belum disunting dan tidak akan disunting untuk tayangan di Malaysia," kata satu kenyataan yang diberikan oleh pihak Disney kepada Bloomberg.

Sebelum ini, LPF memberikan pelepasan untuk filem berkenaan ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia dengan syarat babak berdurasi empat minit yang membabitkan watak lelaki homoseksual, Le Fou disunting.

Filem Beauty and the Beast diklasifikasikan sebagai filem P13 dan penonton berusia bawah 13 tahun yang ingin menonton filem itu perlu ditemani oleh penjaga atau orang yang lebih dewasa.

Menurut Pengerusi LPF, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid, filem tersebut boleh ditayangkan pada bila-bila masa selepas suntingan dibuat.

Pengusaha pawagam utama seperti TGV Cinemas dan Golden Screen Cinemas setakat ini masih belum membuat sebarang pengumuman mengenai tarikh tayangan baharu bagi filem tersebut.

Filem Beauty and the Beast dibarisi pelakon ternama antaranya Emma Watson, Ewan McGregor, Gugu Mbatha-Raw, Josh Gad, Ian McKellen dan Stanley Tucci.

Beauty and the Beast sepatutnya mula ditayangkan di Malaysia esok (16 Mac 2017).

Sumber: Astro Awani