Penyanyi lagu Pejamkan Mata, Dayang Nurfaizah menegaskan dia lebih selesa untuk menyanyikan lagu tersebut sekiranya penyanyi asalnya, Malique ada bersama.

Tambah Dayang atau nama sebenarnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty, dia menghormati karya yang dihasilkan Malique dan memerlukan kedua-dua pihak untuk membuat persembahan sekiranya dikehendaki.

"Itu lagu dia dan kami berkolaborasi selepas Malique menghubungi saya untuk berduet bersama-sama.

"Jika ada yang mahukan saya menyanyi lagu Pejamkan Mata, saya mahu dia (Malique) ada sekali tetapi bergantung juga pada keadaan sebenarnya," jelas Dayang yang ditemui pada majlis sidang media konsert amal Tapestry OF Colours 2017 yang diadakan di Gelari Petronas, Suria KLCC, baru-baru ini.



Mengulas mengenai keengganan Dayang mempromosikan lagu tersebut, jelas penyanyi kelahiran Sarawak itu dia masih melaksanakan tanggungjawab sebagai penyanyi undangan dalam lagu itu dalam usaha promosi selagi termampu.

"Bukan saya tidak mahu mempromosikan lagu itu tetapi hakikatnya itu lagu Malique. Ke mana-mana sahaja saya pergi orang akan bertanya tentang lagu itu dan saya akan sentiasa berkongsi cerita.

"Tetapi proses promosi harus dilakukan daripada pihak dia (Malique). Jika dia perlukan saya kenapa tidak saya membantunya untuk mempromosi sebab lagu itu memang karya yang berkualiti," ujar Dayang lagi.

Lagu Pejamkan Mata ciptaan sepenuhnya Malique dimuatkan dalam album TKO bawah label Qarma Musiq milik Malique sendiri.



Proses rakaman lagu itu tambah Dayang dilakukan secara berasingan dan perbincangan dengan Malique berlangsung menerusi panggilan telefon sahaja.

"Sepanjang proses rakaman lagu itu kami tidak pernah berjumpa melainkan berbincang melalui telefon sahaja.

"Walaupun dia tiada di depan mata, saya senang bekerja bersama kerana dia mempunyai arahan yang jelas," katanya.



Teks oleh: Amri Hassan