Penerbit dan usahawan Datuk Rafiena Ezanee Ramli berdebar menantikan kelahiran bayi sulung yang bakal muncul pada akhir bulan ini.

Bayi sulung yang dimaksudkan ialah filem pertama terbitan syarikat produksi Rafiena, Darkwave Pictures bersama Astro Shaw, Kimchi Untuk Awak yang bakal bertemu penonton pada 30 Mac ini.

“Sejujurnya, saya rasa berdebar dan sangat gementar. Jika sebelum ini, saya sering menerbitkan drama bersiri dan telefilem, filem Kimchi Untuk Awak merupakan bayi sulung bagi syarikat produksi saya.

“Bukan mudah untuk menghasilkan sebuah filem kerana kos produksi serta kerja-kerja belakang tabir filem tidak sama dengan drama dam telefilem. Saya menyahut cabaran ini dan berkolaborasi bersama Astro Shaw.

“Saya tak berani untuk menerbitkan filem sendiri kerana banyak risiko. Bagi saya, permulaan pertama ini biarlah saya mencuba dengan projek usahasama dengan syarikat penerbitan besar seperti Astro Shaw,” kata Rafiena kepada Astro Gempak.

Tambah Rafiena, dia memilih naskah Kimchi Untuk Awak hasil adaptasi novel karya penulis Suri Ryana kerana novel ini mempunyai pengikut tersendiri.

“Saya memilih untuk mengangkat naskah novel untuk difilemkan kerana novel mempunyai kelompok peminat tersendiri. Sudah tentunya pembaca novel tidak sabar untuk menantikan buku kegemaran mereka divisualkan dalam bentuk filem.

“Cerita yang ditampilkan juga bersesuaian dengan citarasa penonton. Saya berharap agar salam perkenalan saya di persada perfileman akan membuahkan hasil dan diterima semua pihak,” katanya lagi.

Filem Kimchi Untuk Awak dibintangi oleh Emma Maembong, Aiman Hakim RIdza, Janna Nick, Dira Abu Zahar, Ungku Hariz, Sharifah Sakinah dan ramai lagi.

Filem terbitan Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini akan menemui penonton bermula 30 Mac 2017.

Teks oleh: Kamaruddin Razal