Pelakon Ola Bola baru-baru ini telah mengadakan lawatan mengejut ke Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Yoke Nam untuk memberi semangat kepada pasukan bola sepak sekolah tersebut.

Menarik lagi, pasukan bola sepak SJKC Yoke Nam telah ditubuhkan selepas kejayaan filem Ola Bola pada tahun lalu.

Pengarah Ola Bola, Chiu Keng Guan berkata, dia terharu apabila diberitahu tentang perkara tersebut.

“Saya tidak menyangka selepas dimaklumkan oleh pengetua sekolah yang pasukan bola sepak mereka ditubuhkan kerana terinspirasi dengan filem arahan saya.

“Hari ini saya dan beberapa pelakon Ola Bola datang ke sini untuk memberi kejutan kepada pemain cilik yang mewakili sekolah untuk perlawanan Bola Sepak Majlis Sukan Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (MSSWPKL) zon Bangsar pada Isnin depan.

“Saya berharap kesemua mereka dapat bermain dengan baik dan beroleh kejayaan namun tidak berputus asa sekiranya gagal melayakkan diri ke peringkat seterusnya,” katanya kepada Astro Gempak.


Selain Chiu, pelakon lain yang turut turun padang memberi semangat kepada pasukan bola sepak tersebut ialah Luqman Hafiz (Ali), Haris Zainudin (Sanjeet) dan Lim Jian Wen (Ah Cai).

Bagaimanapun, Astro Gempak telah dimaklumkan pasukan bola sepak SJKC Yoke Nam telah gagal untuk ke peringkat seterusnya dalam perlawanan MSSWPKL yang berlangsung semalam (Isnin).

Jurulatih yang bertanggungjawab untuk membawa pasukan bola sepak SJKC Yoke Nam sehingga melayakkan diri mewakili sekolah ke peringkat Zon ialah Azmeel Firdaus.


Azmeel ketika ditemui Astro Gempak berkata, ini pertama kali pasukan di bawah bimbingannya ke perlawanan besar seperti MSSWPKL.

“Kebanyakan mereka mula bermain bola sepak sejak setahun lalu dan ia merupakan satu cabran buat saya untuk membimbing anak-anak ini sehingga mahir menguasai permainan ini.

“Bagaimanpun saya tidak mengharapkan kemenangan daripada mereka untuk peringkat awal ini kerana ini pertama kali mereka berhadapan pertandingan seperti ini. Target saya ialah, saya mahu mereka membiasakan diri dan berseronok di atas padang dahulu.

“Sekurang-kurangnya mereka dapat merasai pengalaman bermain di tournament,” katanya.