Juri tetap Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017), Neelofa akui masih belum berpuas hati dengan persembahan yang disampaikan oleh para peserta.

Neelofa, 28, berkata, dia masih mengharapkan sesuatu yang lebih daripada para peserta kerana setiap minggu cabaran yang diberikan kepada mereka semakin mencabar.

"Secara keseluruhan peningkatan yang ditunjukkan oleh para peserta amat baik sekali namun sebagai juri saya masih mahukan sesuatu yang lebih daripada mereka.

"Ramai juga peserta menunjukkan peningkatan dengan persembahan yang menghiburkan tetapi ada beberapa peserta masih tidak berjaya mengekalkan momentum dan kurang menyerlah.

"Sebagai juri sudah semestinya saya mencari pengisian yang lebih bijak dan mampu mendidik masyarakat melalui persembahan disampaikan.

"Untuk mendapatkan lima Ha! daripada saya, mereka harus bijak mengolah lawak yang dilakukan serta menggeletek hati penonton dengan idea-idea lebih kreatif," katanya kepada Gempak.

Minggu kelima bertemakan 'Pekerjaan Luar Biasa' bakal menyaksikan 11 peserta merebut gelaran juara sekaligus memenangi hadiah wang tunai berjumlah RM500,000.

Selain Neelofa, MLM 2017 yang diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos turut menampilkan Rosyam Nor, Luna Maya dan Najip Ali yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan perkembangan lain serta mengundi peserta kegemaran anda sebagai Gempak Man Of The Match (GMOTM), klik link ini ----> ( www.astrogempak.com.my )

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi