Lembaga Penapisan Filem (LPF) menafikan dakwaan pihaknya sengaja menunda tayangan filem Beauty and The Beast yang sepatutnya ditayangkan 16 Mac ini.

Pengerusi LPF, Datuk Abdul Halim Abdul Hamid berkata, pihaknya sudah meluluskan filem tersebut untuk ditayangkan namun penundaan tayangan itu bergantung kepada penerbit filem lakonan Emma Watson dan Dan Stevens itu.

“LPF meluluskan filem itu untuk ditayangkan setelah memotong beberapa babak yang mengandungi adegan sensitif seperti homoseksual.

“Mengapa filem tersebut ditunda, itu perlu tanya pihak penerbit filem itu sendiri. LPF tidak mempunyai apa-apa masalah setelah potongan babak dilakukan,” katanya.

Filem muzikal itu sepatutnya ditayang 16 Mac depan ditunda berikutan ada adegan yang boleh mengganggu sensitiviti masyarakat.

Penundaan filem yang diterbitkan oleh Walt Disney Pictures itu telah mengundang rasa tidak puas hati netizen yang menunggu dengan penuh harapan untuk menonton filem arahan Bill Condon.

Difahamkan filem tersebut akan ditayangkan pada 30 Mac ini.

Sumber: Utusan Online