Peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) yang tersingkir, Kumpulan Pistol dianggotai Raja Azri dan AG Hafiz akan meneruskan perjuangan sebagai pelawak meskipun tewas pada minggu keempat.

Menurut Raja Azri, sebagai anak seni mereka tidak akan berputus asa sebaliknya terus berjuang mengenengahkan bakat sebagai seorang penghibur.

"Walaupun Pistol tertewas pada minggu keempat, namun kami akan tetap terus berjuang untuk menghiburkan orang ramai.

"Karya kami tidak akan mati di sini dan kami akan cuba lagi untuk memperbaiki kelemahan yang ada pada kumpulan ini.

"Sebagai anak seni, kami mesti mempunyai semangat juang yang tinggi untuk menghasilkan karya dan idea yang lebih kreatif pada masa akan datang.

"Ini bukan pengakhiran kepada kumpulan Pistol tetapi ia merupakan titik permulaan untuk kami," katanya kepada Gempak.

Dalam pada itu, peserta daripada kumpulan Shiro, Shahrol telah dipilih menjadi Gempak Man Of The Match (GMOTM) pada minggu keempat yang bertemakan ‘Zaman Belajar’.

Undian untuk GMOTM boleh dilakukan di laman web www.astrogempak.com.my

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi