Personaliti media sosial, Faizdickie mengorak langkah menyiarkan program bual bicara santai menerusi laman Instagram miliknya.

Program yang diberi nama Knock Knock Apa Ittew disiarkan menerusi Instagram Live @faizdickievp.

"Saya menyiarkan program bual bicara secara santai setiap seminggu sekali. Selalunya, program yang diberi nama Knock Knock Apa Ittew disiarkan setiap Rabu.

"Pengisian program adalah lebih kepada variety show. Saya menjemput beberapa orang tetamu untuk membincangkan beberapa topik menarik.

"Sebelum ini, saya pernah menjemput jurulatih kecergasan, pramugara dan backpackers berpengalaman untuk berbincang mengenai topik pilihan.

"Saya menjemput mereka untuk berbincang mengenai topik yang jarang dibincangkan. Kali ini, menerusi kerjasama dengan portal membeli belah Section 1, saya menjemput Ziana Zain untuk ditemubual dalam episod 4," kata Faiz kepada Astro Gempak usai program bual biacaranya berlangsung baru-baru ini.

Ketika ditanya pendekatannya yang menggunakan laman Instagram sebagai landasan untuk menyiarkan program bual bicara miliknya, Faiz mahu menjadi perintis untuk menggunakan platform tersebut.

"Apabila laman Instagram mempunyai feature terbaru iaitu Instagram Live, idea untuk menerbitkan talkshow sendiri datang secara dengan tidak sengaja.

"Apa salahnya jika saya menggunakan landasan tersebut untuk menampilkan rancangan saya sendiri yang saya sajikan untuk pengikut laman Instagram saya. Saya mahu menjadi yang pertama dalam menerokai perkara baru ini," katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal