Peserta Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Ali Puteh dan Abam Bocey terkejut apabila mendapat berita kematian datuk saudara mereka, 15 minit sebelum persembahan bermula.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan, 28, berkata, berita tersebut sedikit sebanyak mengganggu persembahannya pada minggu ini.

"Saya sebenarnya terkejut dengan berita kematian yang disampaikan oleh ahli keluarga kerana ketika itu siaran langsung MLM 2017 akan bermula lagi 15 minit.

"Jadi berita tersebut sedikit sebanyak menganggu emosi dan persembahan saya pada malam ini kerana saya harus menghiburkan orang ramai sedangkan masa itu kami mendapat berita sedih.

"Meskipun perasaan sedih itu ada namun kami tetap menguatkan semangat untuk meneruskan persembahan pada hari ini," katanya kepada Gempak.

Tambah Ali, datuk saudara mereka yang berusia 75 tahun itu meninggal dunia akibat jangkitan kuman di paru-paru.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam UIA Gombak pada pukul 9.00 pagi ini.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi