Penyanyi dan pelakon Elly Mazlein mendedahkan bekas suaminya, Azmi Hatta langsung tidak mengucapkan selamat hari lahir kepada anak mereka, Putri Sara Sefhia yang menyambut ulang tahun pertama semalam.

“Saya anggap dia sedang sibuk ‘berperang’. Dia seakan langsung tidak mengambil tahu perihal perkembangan anak. Sudah setahun usia anak kami, apatah lagi ucapan, hadiah seperti permainan atau baju pun tidak pernah dia berikan. Jadi, saya mahu mengambil langkah mudah dan menganggap dia sedang sibuk,” kata Elly kepada Astro Gempak.

Tidak bersedih dengan hal tersebut, Elly yang popular menerusi lagu Bungaku Bakawali ini menyatakan dirinya sudah lali dengan perkara sebegitu.

“Saya dah lali dan perkara sama sahaja asyik berlaku. Ada atau tidak, perkara tersebut tidak mendatangkan apa-apa perbezaan. Dia kelihatan seperti tiada masa mahu mengetahui perihal perkembangan anak dan sebagainya. Mungkin dia hilang ingatan atau benar-benar terlupa,” katanya lagi.

Dalam perkembangan terbaru, Elly yang baru sahaja menandatangi kontrak bersama KRU Music ini bakal muncul dengan sebuah single terbaru yang masih belum diberi tajuk.

“Single tersebut merupakan lagu hasil ciptaan Manusia Putih. Saya tak sabar mahu masuk ke studio dan merakamkan buah tangan terbaru ini untuk peminat yang sentiasa mendoakan kesejahteraan dan rezeki saya,” katanya lagi.

Teks oleh: Kamaruddin Razal