Pelakon Indonesia, Fedi Nuril tidak dapat membayangkan dirinya beristeri dua seperti wataknya sebagai Mas Pras menerusi filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD2).

Menurut Fedi, 34, tidak mudah untuk menjalani kehidupan berpoligami kerana pihak lelaki perlu berlaku adil kepada isteri-isteri mereka.

“Kerap kali membintangi filem poligami membuatkan saya belajar serba sedikit mengenai perkara tersebut.

"Apa saya belajar menerusi filem ialah poligami ini bukanlah berlaku kerana nafsu sebaliknya niat ingin membantu kaum wanita yang susah.

"Saya sedar ini bukanlah satu perkara yang mudah dan isu ini juga agak sensitif.

"Apa yang pasti suami itu perlulah adil dan tidak boleh berat sebelah.

"Saya sendiri tidak boleh bayangkan kalau ada dua isteri," katanya kepada Astro Gempak.

Mengulas mengenai wataknya, Fedi memberitahu isterinya tidak mempunyai sebarang tentangan dan sentiasa menyokong kerjaya seninya.

"Walaupun dia bukan daripada kalangan selebriti namun saya bersyukur kerana mempunyai isteri yang sangat memahami.

"Setakat ini isteri masih okay bila saya terima watak sebegini tapi tak tahulah pula apa katanya di dalam hati," ujarnya ketawa.

Selain Fedi, filem SYTD 2 turut dibintangi oleh Laudya Cynthia Bella, Raline Shah, Reza Rahadian dan Nora Danish.

Filem arahan pengarah terkenal Hanung Bramantyo itu telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 16 Februari lalu.

SYTD 2, filem terbaru terbitan Astro Shaw dan Dark Wave Pictures Sdn. Bhd berjudKimchiUntuk Awak bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Mac ini.

Kimchi Untuk Awak dibintangi oleh Aiman Hakim Redza, Emma Maembong dan Janna Nick.

Teks oleh: Mya Amri