Penyanyi Elyana akui terkejut apabila bapanya dimasukkan hospital selepas tiga hari mengalami demam biasa.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal , 30, berkata bapanya kini ditahan di hospital dan bakal menjalani pembedahan untuk mengeluarkan sejenis cecair di wajah dan lehernya.

"Sebenarnya bapa saya sudah mula demam selama tiga hari lalu dan doktor di klinik meminta kami merujuk bapa saya ke hospital.

"Saya terkejut apabila pihak hospital memberitahu bapa saya perlu ditahan dan dibedah kerana ada kumpulan nanah di wajah dan lehernya yang perlu dikeluarkan.

"Namun doktor sedang membuat rawatan susulan dahulu kerana bapa saya mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi.

"Kami sekeluarga masih menunggu keputusan doktor," katanya ketika dihubungi Astro Gempak.

Penyanyi lagu Kalis RIndu itu dilihat berkongsi beberapa fotonya di Instagram bersama bapa yang terlantar sakit di hospital.

Elyana yang sedih melihat keadaan bapanya itu berharap agar bapanya segera sembuh dan boleh menjalani kehidupan seperti biasa.

"Sedih sangat sebab bapa saya seorang yang kuat dan tidak pernah di masukkan ke hospital.

"Saya harap bapa saya cepat sembuh kerana terus-terang kami adik-beradik lemah melihat keadannya sebegitu dan jika terjadi apa-apa kepadanya saya akui tidak boleh hidup tanpanya," katanya lagi.

Teks oleh Syafiqah Jalal