Pelakon dan pengacara Zulin Aziz akui mengambil masa setahun untuk mengenali suara sebenarnya sebelum merakamkan single pertama berjudul Terbiar.

Zulin atau nama sebenarnya Farah Azleenda Abd Aziz berkata kekerapan meniru suara penyanyi lain membuatkan dirinya sukar mencari identiti dan mengenali suaranya.

"Saya memang suka menyanyikan lagu penyanyi lain dan terikut-ikut dengan cara nyanyian serta suara mereka.

"Sebab itu saya mengambil masa selama setahun sebelum single ini dirakamkan.

"Lagu ini telah dirakamkan dalam pelbagai versi kerana saya tidak mempunyai identiti menerusi suara saya.

"Lagipun saya bukan penyanyi jadi dalam tempoh setahun itu kami meneliti versi-versi tersebut untuk mencari suara yang sesuai," katanya.

Zulin ditemui pada majlis pelancaran single pertamanya berjudul Terbiar yang diadakan di pejabat Warner Music, Damansara pada petang Rabu.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kerjayanya sebagai penyampai radio Suria.fm, Zulin memberitahu dia tidak mempunyai sebarang masalah dan seronok dengan kerjaya barunya itu.

"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan lancar dan kini sudah hampir tujuh bulan saya bekerja sebagai penyampai radio.

"Pihak radio juga tidak menghalang saya untuk menjadi seorang penyanyi malah mereka memberi sokongan kepada saya.

"Asalkan perkara itu tidak menganggu kerja dan komitmen saya sebagai penyampai radio," ujarnya.

Terbiar merupakan sebuah lagu bergenre bossa balada yang dihasilkan oleh Aiyad Sakti dan Ijoo Omar.

Teks oleh: Mya Amri