Penyanyi Salam Muzik, Eyza Bahra mengakui ingin keluar daripada kepompong selesa selepas mengambil keputusan untuk bergerak secara solo.

Eyza atau nama sebenarnya Noranieyzah Bahra, 29, berkata, keputusan itu diambil selepas telah bersama kumpulan Salam Muzik selama tujuh tahun.

"Saya sebenarnya ingin keluar daripada kepompong rasa selesa dan mencari sesuatu kelainan selepas telah bersama kumpulan Salam Muzik dulu.

"Bagi saya tujuh tahun itu merupakan satu proses peralihan yang lama dan saya harus melakukan sesuatu yang baru dengan bergerak secara solo.

"Mereka juga menerima keputusan saya untuk bergerak secara solo dan kami sering bertukar pendapat mengenai genre muzik yang saya ketengahkan," katanya kepada Gempak.

Eyza Bahra berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul Suara, di Neway Karaoke Box One Utama, Petaling Jaya, di sini Rabu.

Bercerita mengenai album, Eyza berkata, Suara mengandungi lapan buah lagu yang diterbitkan oleh Dj Fuzz dan ini merupakan album sulungnya selepas bergerak secara solo.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi