Pelakon Ummi Nazeera akui hubungan akrabnya dengan aktor Aeril Zafrel menjadi dingin apabila timbul salah faham di antara mereka.

Menurut Ummi, 27, masalah itu timbul kerana mereka tiada persefahaman diantara satu sama lain mengenai watak lakonan yang dibawa dalam drama bersiri Nahu Rindu.

"Sebenarnya masalah yang berlaku dengan saya dan Aeril berpunca daripada salah faham berhubung karakter lakonan kami.

"Ini kerana saya fikir lain dan dia pula beranggapan sebaliknya sehingga kami bergaduh di set penggambaran.

"Bagi saya perkara seperti itu tidak sepatutnya berlaku sebagai seorang pelakon dan ia merupakan kali pertama bermasam muka dengan hero gandingan saya di dalam drama.

"Perkara tersebut yang telah menimbulkan tanda tanya kru produksi sehingga mereka bertanyakan apa yang berlaku.

"Lama juga masa diambil untuk kami berbaik semula namun hubungan itu kembali pulih secara semula jadi kerana kami telah lama berkawan baik," katanya kepada Astro Gempak.

Ummi berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama mini 12 episod Chor & Chah di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.