Penyanyi dan pelakon Dr. Katalina mengakui mendapat perkenan Sultan Pahang, KDYMM Sultan Ahmad Shah untuk berhenti berkhidmat sebagai doktor peribadi baginda.

Dr. Katalina atau Siti Khadijah Awang Amat, 33, berkata, walaupun berat hati untuk meninggalkan kerjaya sebagai seorang doktor, namun demi mengejar cita-citanya sebagai anak seni dia sanggup berkorban.

“Saya belajar sehingga ke Rusia kemudian berkhidmat di Hospital Selayang, ditukarkan ke Klinik Kesihatan Temerloh dan sebagai doktor peribadi kepada Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

"Alhamdulillah, saya mendapat perkenan Sultan Pahang untuk berhenti berkhidmat sebagai doktor peribadi dan rancangan saya untuk membuka klinik sendiri juga sudah tercapai.

“Saya juga akan teruskan menyanyi dan berlakon, kerana ini memang minat saya.

“Malah, ketika berkhidmat di hospital pun, pesakit-pesakit saya pun tahu saya suka menyanyi sehinggakan mereka request saya untuk merawat mereka sambil mendendangkan lagu,” katanya ketawa.

Dalam pada itu, ibu tunggal berasal dari Sabah ini berkata, dia akan mengekalkan gelaran doktor di pangkal namanya.

“Saya kekal menggunakan nama Doktor untuk mencari kelainan dan keunikkan. Dan memang benar saya adalah Doktor, jadi apa salahnya jika saya terus gunakan gelaran tersebut," ujarnya peramah.

Bercakap mengenai singlenya, ‘Kan Terjadi’ yang juga merupakan OST kedua bagi drama bersiri Lara Aishah, Dr. Katalina tidak menyangka ia mendapat sambutan ramai.

“Saya terharu kerana ‘Kan Terjadi’ diterima ramai dan disebabkan permintaan para peminat juga saya hasilkan klip video single pertama saya ini.

“Bagaimanapun ramai yang tertanya-tanya mengapa saya lewat melancarkan klip video ‘Kan Terjadi’.

“Saya mohon maaf kerana kekangan masa, saya terpaksa tangguhkan pembikinan muzik video ini, tetapi saya harap peminat puas hati dengan hasilnya,” ujarnya.

Dr. Katalina berkata demikian ketika majlis pelancaran muzik video 'Kan Terjadi' bersama syarikat rakaman Warner Music Malaysia di Saville, Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, doktor dalam bidang estetik ini juga sudah mula menerima beberapa tawaran berlakon lain.

“Saya ada menerima beberapa tawaran berlakon dan semuanya masih di peringkat perbincangan. Jika tidak ada aral melintang saya akan muncul dalam drama bersiri Gerak Khas musim terbaharu,” katanya.