Pelawak Shuk Joras mengakui pernah memandang mudah kerjaya seorang penyampai radio.

Shuk atau nama sebenarnya Mohammad Shukri Mohamed Sahar berkata, dia sama sekali tidak menyangka kerjaya seorang penyampai radio tidak semudah yang disangka.

"Sebelum ini, pernah terdetik di hati saya yang penyampai radio itu kerjayanya mudah kerana perlu bercakap sahaja.

"Bila saya sendiri dah bersama 'keluarga' Hot fm, barulah saya tahu menjadi seorang penyampai radio bukan sekadar bercakap semata-semata.

"Setiap hari saya perlu membuat 'research' tentang isu semasa dan ambil tahu tentang semua perkara yang berlaku di dalam dan luar negara," katanya kepada Gempak.

Tambah Shuk, selain pelawak dan pelakon dia kini selesa dengan kerjaya barunya di Hot fm.

Shuk bergandingan dengan Ajak dan Fizie menerusi segmen Geng Pagi Hot bermula jam 6 hingga 10 pagi.

"Saya tidak ada masalah bekerja dengan Ajak kerana sudah berkawan sejak menyertai program Raja Lawak lagi.

"Fizie juga banyak membantu saya di konti dan dia juga seorang penyampai yang hebat. Saya banyak belajar mengendalikan konti daripada dia," katanya ketika ditemui pada majlis lepak santai bersama penyampai Hot fm dan Kool fm.