Pelakon Datuk Rosyam Nor mengakui bangga dengan dirinya kerana berjaya khatam Al-Quran meskipun di usia 50 tahun.

Rosyam atau Mohamed Noor Shamsuddin, berkata, pencapaian itu merupakan hadiah terbaik buat dirinya yang baru menyambut ulang tahun hari lahirnya pada 1 Mac lalu.

"Alhamdulillah saya berjaya khatam Al-Quran pada Januari lalu selepas lima tahun belajar untuk membaca semula dengan bimbingan seorang guru agama.

"Saya mula mengaji dengan membaca Iqra dan seterusnya berjaya membaca Al-Quran dengan baik sekarang ini.

"Ia merupakan hadiah paling bermakna bagi diri saya bersempena dengan sambutan hari lahir saya yang ke-50 baru-baru ini.

"Saya bangga dengan diri sendiri saya apabila berjaya khatam meskipun sudah berusia lanjut namun ia lebih baik daripada saya tidak tahu membaca Al-Quran langsung," katanya kepada Gempak.

Rosyam berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama mini 12 episod Chor & Chah di Flora Terrace, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sebelum ini, juri tetap Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) pernah mendedahkan bahawa dia tidak pandai mengaji sehingga usianya mencecah 45 tahun.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi