Pelakon Indonesia, Laudya Cynthia Bella akui aktres Nora Danish merupakan rakan baiknya diset penggambaran filem Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD2).

Menurut Bella, 29, dia tidak mempunyai masalah sepanjang bekerja dengan wanita itu dan selesa dengan perwatakan Nora yang peramah.

“Bagi saya Nora memang terbaik! Walaupun ini pertama kali kami berlakon bersama, saya tidak ada sebarang masalah untuk mewujudkan keserasian bersamanya.

“Dia merupakan artis Malaysia yang sangat comel dan kami dah jadi rakan baik. Saya amat senang dengan karakternya yang peramah serta rendah diri.

“Selepas selesai penggambaran SYTD2 pun kami masih lagi menghubungi antara satu sama lain,” katanya ketika ditemui Astro Gempak.

Mengulas mengenai filem tersebut, Bella memberitahu dia puas hati melihat sambutan yang diberikan oleh peminat di Malaysia.

“Saya rasa bangga kerana ini pertama kali filem lakonan saya ditayangkan di Malaysia dan sambutannya membuatkan saya gembira.

“Alhamdulillah syukur, saya rasa ini hadiah tuhan kepada kami semua kerana kerja dengan ikhlas dan berikan usaha terbaik untuk filem ini,” ujarnya.

Selain Bella, filem SYTD 2 turut dibintangi oleh Fedi Nuril, Raline Shah, Reza Rahadian dan Nora Danish.

Filem arahan pengarah terkenal Hanung Bramantyo itu telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 16 Februari lalu.

Selepas SYTD 2, filem terbaru terbitan Astro Shaw dan Dark Wave Pictures Sdn. Bhd berjudul Kimchi Untuk Awak bakal ditayangkan di pawagam pada 30 Mac ini.

Kimchi Untuk Awak dibintangi oleh Aiman Hakim Redza, Emma Maembong dan Janna Nick.

Teks oleh: Mya Amri

Kredit foto: Kakifoto