Peserta solo Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Dzawin, menafikan berlagak alim kerana sering menyelitkan elemen dakwah dalam persembahannya.

Dzawin atau nama sebenarnya Dzawin Nur Ikram, 26, berkata, tidak ada salahnya jika berdakwah sambil melawak.

"Pada awalnya saya bukan seperti itu, namun selepas mendapat nasihat daripada mentor saya, dia menyarankan supaya menyelitkan unsur dakwah ketika mengadakan persembahan.

"Dia juga banyak memperbetulkan cara persembahan saya sehingga mampu untuk berdakwah ketika melakukan persembahan.

"Namun, saya bukan ingin menunjuk alim kerana sering menyelitkan unsur dakwah ketika berada di atas pentas.

"Bagi saya perkara itu tidak salah dan ia merupakan kelebihan yang patut digunakan kerana saya juga merupakan salah seorang pelajar daripada sekolah pondok," katanya kepada Astro Gempak.

Pada minggu kedua MLM 2017, Dzawin telah dipilih menjadi Gempak Man Of The Match (GMOTM) bertemakan Tabiat.

Undian GMOTM akan dibuka setiap Jumaat sebaik sahaja peserta memulakan persembahan dan undian secara online boleh dilakukan di laman web www.astrogempak.com.my

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi