Pelakon Alvin Chong akui melalui pengalaman yang sukar apabila perlu berlakon bersama kura-kura dalam drama mini bersiri 3 Gadis Manis.

Alvin Chong, 26, berkata ia merupakan babak paling sukar apabila dia perlu berdialog dengan kura-kura yang diberi nama watak Thor.

"Babak paling susah dalam drama ini adalah apabila saya perlu berdialog dengan seekor kura-kura.

"Berlakon dengan haiwan lebih susah daripada berlakon dengan manusia kerana kita perlu memahami dan mengikut rentak binatang itu.

"Dalam drama ini, saya tuan kepada kura-kura bernama Thor. Ia mencabar apabila ketika saya sedang berdialog dengan Thor tiba-tiba dia berlari ke tepi.

"Babak itu tak dapat diteruskan jika Thor bergerak. Jadi babak itu perlu diulang beberapa kali.

"Susah juga nak handle kura-kura ni pernah sekali ketika dia berada di atas tapak tangan saya ketika saya sedang berdialog tetapi tiba-tiba dia berlari dan terjatuh.

"Nasib baik kura-kura itu selamat dan tidak apa-apa dan kami pun meneruskan babak seterusnya," katanya kepada Astro Gempak.

Alvin ditemui selepas pelancaran drama mini 3 Gadis Manis di Pavilion,semalam.

Mengulas mengenai pengalaman berlakon dengan dua bintang lain dalam drama tersebut iaitu Ayda Jebat dan Mira Filzah, Alvin berkata dia bertuah kerana dapat tunjuk ajar daripada mereka.

"Terharu apabila dapat bergandingan dengan nama besar dalam bidang lakonan, saya hanya pelakon baru berbanding mereka.

"Tambahan pula saya tidak fasih berbahasa Melayu, bila mereka berdialog agak laju saya jadi tidak faham.

"Nasib baik ada Ayda Jebat yang faham dengan situasi saya, dia pun membantu saya supaya saya nampak natural dalam lakonan.

"Mira Filzah pun banyak bagi nasihat dan tunjuk ajar kepada saya ketika penggambaran berlangsung," katanya lagi.

Drama enam episod lakonan Ayda Jebat, Mira Filza, Cristina Suzanne dan Dottie ini boleh ditonton menerusi Astro Gempak atau layari www.3gadismanis.com.my bermula 8 Mac ini.

Teks oleh Syafiqah Jalal