Pelakon Zul Ariffin akui tiada siapa yang mampu menandingi karisma dan ketokohan seniman negara, Allahyarham Tan Sri Datuk Jins Samsudin, 82, dalam bidang seni.

“Saya dibesarkan dengan filem-filem lakonannya dan sehingga ke hari ini saya sangat kagum dengan karisma Allahyarham ketika berlakon.

“Bagi saya memang tiada siapa pun yang boleh menandingi karisma dan aura yang ada pada dirinya.

“Alhamdulillah pengebumian berjalan dengan lancar dan saya bersyukur dapat hadir untuk memberikan penghormatan terakhir kepada idola saya,” katanya ketika ditemui Astro Gempak sejurus selesai majlis pengebumian.

Mengulas mengenai kenangannya bersama Allahyarham, Zul memberitahu dia pernah bertemu dengan Jins Samsudin sebanyak dua kali sahaja.

“Kami tidak pernah bekerjasama dan hanya bertemu sebanyak dua kali sahaja itu pun di cafeteria Skop Production.

“Waktu itu Allahyarham adalah pelakon jemputan untuk drama yang produksi berkenaan dan saya sempat memberikan salam dan bertegur sapa dengannya.

“Walaupun itu saja kenangan yang saya ada namun sehingga kini momen itulah yang paling saya hargai,” ujarnya.

Terdahulu, Tan Sri Datuk Jins Samsudin, 82, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan,Ulu Kelang kira-kira jam 10.30 semalam.

Teks oleh: Mya Amri