Ventrilokis pertama Malaysia, Pak Jalud telah meninggal dunia akibat kesukaran bernafas pada pukul 11 pagi semalam.

Pak Jalud atau nama sebenarnya Sheikh Mahdi Ahmad Baladram meninggal dunia di samping isterinya, Normah Ibrahim, 66, di kediamannya di Bandar Tun Razak, Cheras, Kuala Lumpur pada usia 69 tahun.

Memetik kenyataan daripada anak perempuan beliau, Siti Warda Hanim, 43, bapanya telah dikejarkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras, tiga hari lalu akibat kesukaran bernafas namuan hanya dirawat sebagai pesakit luar.

Selain mengalami masalah tersebut, Pak Jalud turut diserang penyakit gastrik, semput dan sakit tua.

Karier beliau sebagai ventrilokis (bercakap tanpa membuka mulut) bermula selepas menjadi finalis Bakat TV RTM 1978. Malah, beliau pernah dianugerahkan First Performing Ventriloquist oleh Malaysia Book of Records pada tahun 2007.

Kegemilangan Pak Jalud sekitar tahun 1970-an hingga 1980-an mencuri perhatian menerusi boneka popularnya bernama Jalud yang dibelinya dari Amerika Syarikat dengan harga RM300 selain sebuah lagi bonekanya, Al-Latah.

Malah, Pak Jalud pernah membintangi filem Mami Jarum arahan Prof. Datuk Dr. Razak Mohaideen pada tahun 2002.

Kali terakhir beliau membuat kemunculan di khalayak ramai sekitar lima tahun lepas.

Jenazah telah dikebumikan selepas solat Asar semalam di Tanah Perkuburan Alam Damai, Cheras.

Teks oleh: Amri Hassan