Seorang penyanyi lelaki Korea Selatan, Kim Dong Gyun dari Zigma Band telah menyanyikan semula lagu terbaharu Aiman Tino berjudul Permata Cinta dan sekali gus menarik perhatian pelayar Youtube.

Video berdurasi 3 minit 27 saat itu telah dinyanyikan semula dengan lirik yang ditukar kepada bahasa Korea manakala muziknya pula digubah semula oleh Hossein Somadi.

Terkini, video yang asalnya telah dimuat naik sejak 9 Februari 2017 itu telah ditonton oleh lebih daripada 39 ribu pengguna Internet.

Menariknya video yang memaparkan wajah penyanyi tersebut turut disertakan dengan lirik dalam bahasa Korea berserta dengan sebutan dalam bahasa Malaysia sekali.

Ada antara komen yang ditulis oleh pengguna Youtube menyarankan agar lagu tersebut dijadikan runut bunyi (ost) drama Korea. Malah, ada yang meminta penyanyi itu menyanyikan semula lagu Terakhir milik Sufian Suhaimi, Redha (Irfan Haris) dan Dirgahayu (Datuk Siti Nurhaliza & Faizal Tahir).

Cuma ada yang memberikan komen kurang senang mendengar beberapa baris lagu itu dinyanyikan artis itu dalam bahasa Malaysia yang kedengaran sedikit canggung.

Kim Dong Gyun antara lainnya pernah menyanyikan semula lagu artis Malaysia antaranya Sayang (Faizal Tahir), Sudah Ku Tahu (Projektor Band), Hancur Aku (Estranged ft. Fazura) dan Kisah Cintaku (Peterpan).

Dibawah merupakan video lagu Permata Cinta yang dinyanyikan semula oleh Kim Dong Gyun


Teks oleh: Nik Amri Nik Hassan