Selebriti Ayda Jebat, Mira Filzah dan Cristina Suzanne kini tinggal sebumbung di sebuah rumah di ibu kota Kuala Lumpur.

Ayda, Mira dan Cristina tinggal bersama, di dalam drama mini bersiri digital berjudul 3 Gadis Manis yang akan bersiaran di laman web Astro Gempak dan boleh dilayari di www.3gadismanis.com.my mulai 8 Mac ini.

Membawa watak Mimi (Ayda Jebat), Aishah (Mira Filzah) dan Nadya (Cristina Suzanne) drama tersebut mengisahkan persahabatan tiga gadis yang mula terjalin sejak mereka mula tinggal bersama di ibu kota Kuala Lumpur.

Biarpun mereka mempunyai latar belakang yang berbeza, namun mereka sentiasa menyokong dan membantu satu sama lain dalam apa jua keadaan.

Drama enam episod ini juga mempamerkan karakter setiap tiga gadis ini yang saling memberi inspirasi untuk terus tabah menghadapi cabaran hidup serta dalam mencari cinta sejati.

Turut menjayakan drama mini ini termasuklah pelakon dan penyanyi muda yang sedang meningkat naik dan mula dikenali menerusi drama popular Suri Hati Mr Pilot, Alvin Chong sebagai Josh serta pelakon Nor Syuhaida Abdul Razak atau lebih dikenali Dottie sebagai Melati.

Ketua Penjenamaan, Pemasaran Bahagian Melayu dan Astro Gempak, Raja Jastina Raja Arshad, berkata ekoran kejayaan program realiti The House yang turut ditayangkan di Astro Gempak sebelum ini telah membuatkan laman itu sekali lagi membawa satu format berbentuk drama mini seperti 3 Gadis Manis

"Keberkesanan format ini telahpun terbukti menerusi beberapa video digital yang kami terbitkan di Astro Gempak sebelum ini. Antaranya seperti program realiti THE HOUSE yang menerima lebih 30 juta jumlah tontonan video untuk tiga buah musim secara keseluruhan, program realiti Yed Jom Kurus dengan lebih 1 juta jumlah tontonan serta telemini Cinta Amoi dengan lebih 340 ribu jumlah tontonan.

"Ekoran kejayaan ini, kami bawakan pula format sebegini dalam bentuk drama mini bersiri menerusi 3 Gadis Manis yang buat pertama kalinya akan disiarkan sepenuhnya di Astro Gempak. Inisiatif penerbitan kandungan sebegini merupakan salah satu usaha kami untuk berkembang menjadi portal hiburan infortainment digital utama di negara ini,” katanya.

Selain daripada enam buah episod istimewa yang akan ditayangkan di www.3gadismanis.com.my, para penonton juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik seperti menghadiri sesi temu mesra bersama artis kegemaran dan sebagainya dengan hanya menonton drama 3 Gadis Manis untuk menyertai peraduan istimewa di portal rasmi.

Bukan itu sahaja, penonton juga berpeluang untuk mendapatkan koleksi barangan istimewa edisi 3 Gadis Manis seperti gincu, jurnal dan tudung dengan harga istimewa menerusi portal rasmi.

Jangan lupa saksikan drama bersiri 3 Gadis Manis yang bakal disiarkan sepenuhnya menerusi platform digital di www.3gadismanis.com.my mulai 8 Mac ini.

Teks oleh Syafiqah Jalal