Lebih daripada 20 orang artis popular tanah air bakal memeriahkan Karnival KLxtravaganza yang akan diadakan di perkarangan pusat beli-belah Wangsa Walk, Wangsa Maju, pada 11 Mac depan.

Presiden Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) Datuk Freddie Fernandez berkata, program berkenaan memberi peluang kepada orang ramai untuk menjalankan aktiviti bersama-sama artis tempatan tanah air.

"Program yang dianjurkan ini akan memberi peluang kepada para selebriti untuk menjual produk dan barangan mereka kepada peminat.

"Buat masa sekarang, seramai 20 orang artis telah mengesahkan penyertaan untuk datang memeriahkan acara dan menjual produk keluaran mereka.

"Melalui gerai yang disediakan secara percuma ini, kami berharap agar lebih ramai artis dapat turut serta memeriahkan karnival yang dianjurkan ini," katanya kepada Astro Gempak.

Freddie berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Karnival KLxtravaganza yang diadakan di Wangsa Walk, di sini pada Rabu.

Tambah Freddie, dia menjangkakan seramai 10,000 pengunjung bakal memeriahkan acara yang bermula dari pukul 7.30 pagi hingga 11 malam itu.

Antara selebriti yang terlibat ialah Projector Band, Sufian Suhaimi, Elly Mazlein, Erra Fazira, Rita Rudaini, Amelina, Yazid (Search), Salwa Abdul Rahman, Aznah Hamid, Zarul Husin, Encik Mimpi dan Shikin Dangdut.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) ini memberi peluang kepada masyarakat menjalankan aktiviti bersama artis tempatan.

Program yang bakal diadakan itu, turut mendapat sokongan penuh dari Persatuan Wartawan Dan Penulis Hiburan Malaysia (WHAM), serta sokongan agensi kerajaan seperti Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Bahagian Kesihatan Pergigian, Kementerian Kesihatan Malaysia.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi