Isteri seniman lagenda Tan Sri Jins Samsudin, Puan Sri Halijah Abdullah meluahkan rasa terkilan dan bersalah kerana menjamu suaminya cekodok pisang ketika minum petang bersama, semalam (Rabu).

Jins meninggal dunia pada usia 82 tahun ketika dalam perjalanan ke klinik berdekatan rumahnya selepas tercekik cekodok pisang ketika minum petang bersama Halijah pada jam 5.45 petang di kediaman mereka di Kampung Pasir, Hulu Kelang.

Halijah berkata, pada petang kejadian dia membelikan Jins kuih cekodok kerana ia adalah kuih kegemarannya.

“Ketika makan, pada suapan keempat arwah terdiam dan dia tiba-tiba sesak nafas akibat tercekik. Saya rasa bersalah dan terkilan kerana beri dia makan cekodok pisang.

“Saya tepuk belakang arwah beberapa kali supaya dia membuka mulut dan muntah, tetapi keadaannya menjadi lemah dan tangannya mulai sejuk.

“Saya panggil jiran untuk membantu mengeluarkan sisa makanan daripada mulut arwah dan dia muntah kemudian terus lembik tetapi tidak memberi sebarang tindak balas," katanya.

Halijah berkata, dengan bantuan jiran, dia membawa suaminya ke klinik berkenaan dan ketika dalam perjalanan Jins sudah tidak sedarkan diri.

“Sebaik tiba di klinik, doktor mengesahkan dia sudah meninggal dunia. Saya meminta doktor memeriksa nadinya sebanyak empat kali kerana tidak percaya dia akan meninggalkan saya selain tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda pelik,” katanya ketika ditemui di kediamannya, pada malam Rabu.

Menurut Halijah, arwah juga kurang bercakap seperti kebiasaan semalam.

“Selalunya dia akan bercakap tanpa henti dari jam 2.30 petang hingga 9 malam. Namun, hari ini dia diam saja.

"Setiap hari arwah akan minta saya menunggunya, anaknya, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim, untuk pulang ke kampung di Taiping, Perak, selain mahu berjumpa ibu bapa walaupun kedua-duanya sudah lama meninggal dunia.

"Beliau juga memang sudah tidak mengingati saya, Jebat dan Nadim sejak dua tahun lalu. Hari ini, saya rasa lega beliau tidak lagi bercakap benda yang sama.

"Bagaimanapun, saya tidak menyangka ia membawa petanda beliau akan pergi selama-lamanya," katanya.

Jenazah Jins yang akan disembahyangkan di Masjid Al Ridhuan, hari ini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al Ridhuan jam 11 pagi.

Sementara itu, rumah Allahyarham dikunjungi rakan artis termasuk Datuk Yusof Haslam, Datuk Norman Abdul Halim, Datuk Nash, Fauziah Ahmad Daud, Aida Khalida dan Lydiawati.

Sumber Foto: Harian Metro, Google