Peserta solo Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Mad Sabah, mengakui bukan mudah untuk bersaing dengan peserta berkumpulan di MLM 2017.

Mad Sabah atau nama sebenarnya Achmad Rusli, 29, berkata, sebagai peserta solo, dia harus berfikir lebih kreatif ketika melakukan persembahan supaya dapat memberika saingan kepada mereka.

"Peserta berkumpulan itu lebih mudah kerana mereka boleh membahagikan dialog ketika melakukan persembahan berbanding peserta solo yang harus melakukan persembahan seorang diri selama empat minit.

"Bohong kalau saya kata tidak tertekan, namun saya mengambil perkara ini sebagai satu cabaran untuk melakukan persembahan yang terbaik setiap minggu.

"Perasaan gementar itu memang ada kerana di pentas ini saya perlu bersaing dengan pelawak yang jauh lebih berpengalaman daripada saya.

"Namun, apa yang saya boleh janjikan adalah untuk melakukan persembahan terbaik dengan strategi yang tersendiri dalam MLM 2017.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap
iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap
Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan
Mustika HD (134).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi