Penyanyi Azlan & The Typewriter akui akan mengenakan tindakan saman terhadap penganjur Konsert High Note yang berlangsung di Istana Budaya pada November tahun lalu.

Menurut Azlan, tindakan itu diambil adalah untuk memberi pengajaran kepada mereka supaya lebih peka mengenai pembayaran yang sudah dijanjikan sebelum ini.

"Saya akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak penganjur supaya dengan cara ini dapat memberi pengajaran kepada mereka.

"Ini kerana saya juga sudah puas bertolak ansur dan berbincang dengan pihak penganjur namun masih tiada kata putus daripada mereka.

"Malah sehingga kini mereka masih gagal membayar lagi kira-kira 70 peratus daripada baki bayaran yang sudah dijanjikan.

"Tindakan yang akan diambil ini adalah untuk menjaga nama baik saya sebagai selebriti dan ia merupakan peringatan kepada penganjur-penganjur yang lain supaya tidak melakukan perkara yang sama," katanya kepada Astro Gempak.

Azlan berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran single kompilasi The Protege, di In Touch, Kuala Lumpur, di sini Selasa.

Terdahulu, penyanyi Ziana Zain dan Jaclyn Victor telah menyatakan hasrat mereka untuk mengambil tindakan yang sama terhadap pihak penganjur konsert terbabit.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi