Pelakon drama bersiri Plan Cinta Tak Jadi, Fathia Latiff mendedahkan dirinya belum bersedia untuk menjadi seorang isteri.

Belum bertemu pengganti selepas putus cinta dengan aktor Aiman Hakim Ridza beberapa tahun lalu, Fathia selesa menjalani hidup solo.

"Saya masih belum bercinta dengan sesiapa. Bila ada orang bertanya perihal jodoh, sejujurnya saya masih belum bersedia untuj bergelar isteri.

"Saya gembira menjalani kehidupan saya sekarang. Saya belum membuka hati kepada sesiapa," kata Fathia kepada Astro Gempak.

Enggan terlalu memikirkan mengenai jodoh, Fathia mahu perkara tersebut datang sendiri.

"Walaupun saya solo, Allah berikan saya rezeki, berikan saya keluarga dan sahabat yang baik. Allah juga memberikan saya perasaan gembira.

"Mengapa saya perlu fikirkan benda yang saya tidak ada? Lebih baik saya fikirkan perkara yang ada di hadapan saya dan mensyukuri serta menghargainya.

"Saya percaya, jodoh, ajal dan maut ketentuan Allah. Semuanya akan datang sendiri. Saya hanya perlu bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang menyokong saya. Semoga semua orang dapat kehidupan yang baik dunia dan akhirat," katanya lagi.

Fathia tercalon dalam Anugerah Meletop Era 2017 (AME 2017) menerusi kategori Fesyen Meletop dan Drama Bersiri Meletop (Rumi & Jawi).

AME 2017 bakal berlangsung pada 23 April ini di Stadium Melawati, Shah Alam. Untuk mengundi selebriti kesayangan anda, jangan lupa untuk melayari laman web www.anugerahmeletopera.com.my!

Teks oleh: Kamaruddin Razal