Peserta kumpulan Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM 2017) Mamu yang dianggotai oleh Abu dan Ajo mengakui kelebihan memiliki empat Ha! daripada juri bukanlah satu kelebihan untuk mereka kekal di dalam program itu.

Menurut Abu, undian daripada para penonton memainkan peranan penting dalam memastikan kedudukan para peserta di dalam MLM2017.

"Kami tidak menyangka bahawa akan tersingkir pada malam ini kerana pihak juri telah memberikan empat Ha! dalam persembahan yang dilakukan pada minggu kedua.

"Mungkin ini semua merupakan masalah undian daripada peminat kerana kami telah melakukan persembahan yang terbaik berbanding minggu lepas.

"Sejujurnya perasaan terkilan itu pasti ada kerana kami telah berusaha sebaik mungkin untuk memastikan penonton terhibur.

"Namun keputusan pada malam ini tidak menyebelahi Mamu dan kami menerima dengan hati yang terbuka," katanya kepada Astro Gempak.

Selain Mamu, kumpulan Hobit yang dianggotai oleh Amir, Bocil dan Din juga telah tersingkir pada minggu kedua MLM 2017.

Dalam pada itu, peserta solo Dzawin telah dipilih menjadi Gempak Man Of The Match (GMOTM) pada minggu kedua dengan bertemakan Tabiat.

Undian GMOTM akan dibuka setiap Jumaat sebaik sahaja peserta memulakan persembahan dan undian secara online boleh dilakukan di laman web www.astrogempak.com.my

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa yang akan mengadili para peserta selama 12 minggu.

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi