Penyanyi Siti Nordiana Alias memberitahu akan kembali ke set penggambaran pada penghujung tahun 2017.

Bakal membintangi drama bersiri adaptasi novel yang berjudul Klik! Pengantin Musim Salju hasil karya novelis Suri Ryana, wanita yang mesra disapa Nana ini bakal digandingkan kembali bersama Alif Satar.

“Apa yang saya dapat tahu, drama ini akan menjalani penggambaran pada penghujung tahun. Penggambaran drama bersiri ini memang perlu dijalankan di tempat yang bersalji dan musim salji akan berlangsung pada hujung tahun.

“Khabarnya, drama bersiri ini akan menjalani penggambaran di Jepun. Insya-Allah, jika tiada aral melintang, saya akan kembali beraksi bersama Alif Satar dan tenaga produksi sama yang menjayakan drama bersiri Dia Semanis Honey,” kata Nana kepada Astro Gempak.

Turut menerima beberapa tawaran lakonan lain, Nana menjadikan bidang lakonan sebagai satu hadiah yang istimewa untuk peminatnya.

“Saya ada menerima beberapa tawaran tetapi tidak memikirkannya lagi. Jika tawaran tersebut bersesuaian, apa salahnya. Saya merupakan seorang penyanyi, jadi keutamaan saya adalah kepada bidang muzik.

“Namun begitu, saya menjadikan bidang lakonan sebagai hadiah buat peminat. Kadang-kadang peminat rindu untuk menyaksikan saya di kaca televisyen, jadi mereka boleh menontonnya menerusi drama bersiri lakonan saya,” katanya ketika ditemui di sidang media Anugerah MeleTop Era 2017 (AME 2017) pada Selasa.

AME 2017 bakal berlangsung pada 23 April ini di Stadium Melawati, Shah Alam. Untuk mengundi selebriti kesayangan anda, jangan lupa untuk melayari laman web www.anugerahmeletopera.com.my!

Teks oleh: Kamaruddin Razal