Anggota kumpulan Bocey, Achey mendedahkan Abam kerap berpeluh sebelum tiba giliran mereka membuat persembahan di minggu pertama Maharaja Lawak Mega 2017 (MLM2017) Jumaat lalu.

“Walaupun ini bukan kali pertama Bocey sertai MLM, tapi perasaan gementar itu masih ada dan sama sewaktu kami mula-mula sertai program ini.

“Boleh dikatakan disebabkan terlalu gementarlah Abam kerap berpeluh dan tidak minum air langsung selagi giliran kami untuk membuat persembahan belum tiba.

“Dia juga tidak senang duduk dan kerap meminta tuala untuk mengelap peluhnya.
Sejurus selesai persembahan, Abam terus mengambil sebotol air dan meneguknya sehingga habis.

“Hanya tuhan saja yang tahu betapa leganya kami selepas mendengar penonton ketawa melihat persembahan tersebut,” katanya kepada Astro Gempak.

Ditanya mengenai MLM2017, Abam akui berasa risau dengan penerimaan penerimaan penonton terhadap persembahan lawak mereka.

“Bocey pernah jadi juara jadi secara tidak langsung sudah pasti penonton meletakkan harapan tinggi terhadap kualiti lawak yang kami hasilkan.

“Ditambah pula minggu lalu kami merupakan giliran terakhir untuk buat persembahan dan saya akui sedikit risau.

“Seperti kata Datuk Rosyam, persembahan penamat itulah yang paling dinantikan oleh penonton. Takut juga kalau-kalau lawak kami tidak menjadi.

“Tapi syukur, semuanya dipermudahkan ketika berada di atas pentas dan reaksi yang kami terima semuanya positif,” ujarnya.

MLM 2017 diterajui Datuk AC Mizal sebagai hos dan menampilkan empat juri tetap iaitu Datuk Rosyam Nor, Luna Maya, Najip Ali dan Neelofa .

MLM 2017 bersiaran secara langsung dari Royal Theater Shah Alam pada setiap Jumaat, pukul 10 malam dan boleh ditonton menerusi saluran Astro Warna (132) dan Mustika HD (134).

Untuk melihat berita terkini dan video menarik tentang MLM 2017 layari MAHARAJA LAWAK MEGA.

Untuk mengundi Gempak Man Of The Match, sila KLIK DI SINI.

Teks oleh: Mya Amri