Bekas peserta Akademi Fantasia 2014 (AF2014), Sam Nuhair (Nuha), nekad untuk mengubah penampilannya selepas ditegur seorang wanita.

Sam Nuhair atau nama sebenarnya Syamila Nurhair Zainordi ini berkata, teguran wanita itu agak kasar sehingga memberikan kesan terhadap dirinya.

“Saya tidak kisah sekiranya orang bercakap mengenai penampilan saya tetapi teguran seorang makcik ini benar-benar membuatkan saya sentap.

“Makcik itu berkata dia merupakan peminat saya sejak AF2014 lagi namun dia meluahkan rasa pelik kerana wajah saya diluar nampak hodoh dan tidak cantik seperti di kaca televisyen.

“Selepas kejadian itu, saya nekad menjaga penampilan dan mula berlajar sedikit tentang cara-cara untuk bersolek.

“Saya tidak marah sebaliknya bersyukur kerana dipertemukan dengan peminat yang jujur memberikan pendapat dan kritikan supaya saya boleh memperbaiki kelemahan diri.

“Saya sedar selepas bergelar artis, penampilan itu amat penting dan saya berterima kasih kepada peminat itu.

“Jujur saya katakan kalau bukan kerana dia, mungkin saya masih lagi seorang yang selekeh,” katanya ketika ditemui pada majlis Up Close & Personal yang diadakan di Red Box, The Gardens, pada Khamis.

Mengulas mengenai kerjayanya, Sam akui tidak mudah untuk berada dalam industri hiburan dan bersaing dengan artis-artis lain.

“Selepas tamat Akademi Fantasia, saya sedar rupanya tidak mudah untuk menempatkan diri dalam bidang industri.

“Artis-artis yang sedia ada semuanya hebat dan itu belum lagi termasuk penyanyi baru yang akan muncul menerusi program realiti.

“Saya akui cubaan pertama saya dahulu gagal dan saya juga pernah ditipu oleh orang dalam industri berkenaan dengan penerbitan album saya.

“Tak mengapalah, saya anggap perkara yang berlaku itu adalah dugaan dan menguatkan lagi semangat saya untuk terus berjaya.

“Alhamdulillah, single kedua berjudul Kau Menjauh telah pun dikeluarkan. Boleh dikatakan ini sebagai percubaan kedua dan saya harap peluangnya juga lebih cerah,” katanya yang kini berada di bawah syarikat pengurusan Joe PRC International.

Teks oleh: Mya Amri