Pelakon Idris Khan menjelaskan kontroversi yang melanda diri, tidak menyebabkan kariernya terganggu.

Idris atau nama sebenarnya Idris Khan Abdul Ghaffar, 28, berkata, insiden tersebut sedikit pun tidak mematahkan semangatnya untuk terus kuat memajukan kerjayanya dalam bidang lakonan.

"Bagi saya kerja adalah kerja kerana ia langsung tiada kena mengena dengan kontroversi yang terjadi kepada saya ini.

"Apa yang terjadi itu merupakan hal peribadi saya dan sebagai manusia kita tidak terlepas daripada dihimpit masalah.

"Saya sentiasa melihat ke depan, jadi sekarang fokus saya adalah kepada kerjaya sebagai pelakon dan berikan hasil yang terbaik dalam lakonan.

"Bagi saya, banyak lagi benda lain yang lebih penting untuk difikirkan dan biarlah pihak berkuasa yang melakukan siasatan," katanya.

Idris berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran mesin laser Picoway, di Aloft, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Terdahulu, nama Idris menjadi kontroversi selepas penyebaran beberapa keping foto bogel seorang lelaki dan wanita miripnya dan pelakon Atikah Suhaime.

Teks Oleh: Rozaimi Zubaidi