Pelakon Surga Yang Tak Dirindukan 2 (SYTD 2), Raline Shah tidak menyangka gaya pemakaian tudungnya dalam filem tersebut menjadi viral.

Menurut Raline, 31, menggayakan tudung tersebut mengikut cara yang paling mudah kerana tidak mempunyai perunding imej.

"Saya memegang watak sebagai Meirose dan menerusi filem itu saya harus memakai tudung.

“Sejujurnya saya tidak tahu bagaimana caranya untuk memakai tudung dengan gaya yang betul.

“Jadi saya ambil inisiatif untuk memakai tudung dengan cara yang paling mudah. Rasanya kalau ada ‘stylish’ pasti gaya saya lebih cantik.

“Tak sangka pula gaya tudung saya itu jadi perhatian sehingga viral di media sosial,” katanya ketika ditemui pada malam gala SYTD 2 bertempat di GSC Pavillion pada Rabu.



Reaksi Raline Shah ketika melihat wajahnya memakai tudung 'Meirose'.

Mengulas mengenai hijab, Raline memberitahu buat masa ini dia masih belum bersedia untuk bertudung.

“Bagi saya ini bukan perkara yang main-main, kerana sebaik saja memakai tudung secara tidak langsung ia melambangkan keperibadian diri dan juga agama.

“Kena betul-betul bersedia barulah saya akan ambil keputusan untuk berhijab, InshaAllah,” katanya.

Selain Raline, filem SYTD 2 turut dibintangi oleh Laudya Cynthia Bella, Fedi Nuril, Reza Rahadian dan Nora Danish.

Filem arahan pengarah terkenal Hanung Bramantyo itu telah ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 16 Februari lalu.



Teks oleh: Mya Amri