Pelawak dan pengacara Jihan Muse mengakui peluang untuk bergandingan dengan penyanyi dan pelakon popular Amy Mastura dalam program bual bicara Jihan Show, sebagai satu penghargaan buat dirinya.

Menurut Jihan, 34, Amy Mastura merupakan idolanya sejak dari awal pembabitan penyanyi Jawapan Kasih itu dalam industri hiburan tanah air.

“Apabila pihak produksi beritahu yang saya boleh memilih pasangan sendiri untuk program bual bicara ‘Jihan Show’, saya terus cadangkan nama Amy Mastura.

“Saya memang peminat Amy Mastura sejak saya berusia 11 tahun, Jadi saya gunakan kesempatan ini untuk bersama idola saya.

“Lagipun sebelum ini saya pernah menolak beberapa tawaran bekerja dengan Amy Mastura kerana saya takut dan belum bersedia.

“Jihan Show merealisasikan dua impian saya. Impian untuk memiliki program bual bicara sendiri dan bekerja dengan idola saya,” katanya ketika di temui Astro Gempak.

Tampil dengan konsep gabungan sitkom dan bual bicara, program Jihan Show bakal membincangkan mengenai topik hangat berkaitan wanita dalam bentuk santai dan bersahaja.

Saksikan #jihanshow rancangan bual bicara dan sitcom terbaharu yang dibintangi #jihanmuse @amymasturalerr @zarazya dan @shuksyj setiap Khamis jam 9.30 malam bermula 2 Mac ini di saluran di Astro Warna dan Mustika HD.

A post shared by JIHAN MUSE (@jihanmuse) on


Menerusi rancangan terbaharu terbitan Astro ini, buat pertama kali pelakon dan pelawak Jihan Muse diberi tanggungjawab untuk mengendalikan program bual bicaranya sendiri.

Bagaimanapun Jihan akan dibantu oleh Amy Mastura, Zara Zya dan Syuk Joras sebagai pengacara bersama.

Tambah Jihan, dia gementar menanti maklum balas penonton mengenai buah tangan terbaharunya itu.

"Apabila nama saya sendiri digunakan sebagai nama program, ia semestinya menjadi tanggungjawab yang cukup besar kepada saya sebagai pengacara.

"Bagi saya Jihan Show adalah langkah pertama saya untuk berjinak-jinak mengendalikan program bual bicara yang lebih serius dengan topik yang berat jika diberi peluang pada masa depan," katanya.

Sementara itu Ketua Saluran Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad berkata, Jihan Show merupakan program khas untuk wanita bagi saluran Astro Warna.

"Kami bukan sahaja melihat program ini sebagai medium untuk menyuarakan pendapat serta suara wanita tetapi platform untuk menyebarkan mesej positif dan membuka minda kaum hawa.

"Pertukaran pendapat yang berlaku semasa bual bicara berlangsung akan memberi perspektif kepada penonton terhadap isu-isu yang dibincangkan," katanya.

Raqim ditemui pada majlis pelancaran program Jihan Show di Fish & Co, Pavilion pada Rabu.

Jihan Show turut mengundang selebriti popular bagi setiap episod antaranya ialah Mat Dan, Datuk Rosyam Nor, Fahrin Ahmad, Hairul Azreen, Amar Baharin, Tomok, Kamal Adli, Mark Adam, Ajak Shiro serta Aiman Tino.

Jihan Show akan bersiaran pada setiap Khamis mulai 2 Mac ini pada pukul 9.30 malam di saluran Astro Warna (132) dan siaran serentak di Mustika HD (134).